Sunday, June 21, 2009

Perbankan Islam - Catatan Perjalanan 2 dekad

Saya sentiasa berasakan bahawa saya adalah insan yang amat bertuah, dan sesungguhnya saya amat bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana memberi kekuatan kepada saya untuk terus menerus berada dalam jihad untuk membebaskan manusia, dan umat Islam khususnya daripada belenggu riba, yang merupakan salah satu dosa yang besar di sisi Allah. Jika mengimbau kembali kehidupan ini, sejak lahir, masuk ke sekolah rendah di sebuah pekan kecil bernama Kuala Kubu Bharu, kemudian ke sekolah menengah di pekan yang sama hingga ke Tingkatan Enam, kemudian meneruskan pengajian di UKM, dan memperoleh biasiswa Bank Negara Malaysia, yang saya kira satu turning point yang penting dalam mencatat perkara-perkara yang bakal saya dilibatkan dalam pelbagai dasar-dasar penting di BNM. Tetapi semua ini adalah taufiq dan hidayah Allah s.w.t. Sememangnya perancangan Allah Maha Hebat, dan kita sebagai manusia memang tidak dapat mengagak apa yang bakal berlaku apa yang berlaku pada masa hadapan walau sedikitpun. Siapa sangka seorang lelaki ini, yang tidak mempunyai asas agama yang kuat kecuali menjual kitab-kitab agama di sebuah kedai buku yang kecil di pekan kecil ini, akan terlibat dalam satu transformasi sistem kewangan di negara ini ke arah sistem kewangan yang diredhai Allah. Tetapi takdir Allah telah merubah semua, dan Alhamdulillah, inilah satu nikmat yang tidak ditukarganti dengan wang ringgit walau setinggi manapun. Bila saya mula menulis blog ini, saya kira ia harus menjadi platform untuk menulis kembali pengalaman-pengalaman menarik dalam catatan kerjaya di BNM dalam perjuangan memartabatkan kewangan Islam di negara ini. Keduanya, untuk menjadi satu insentif dan motivasi kepada anak-anakku bahawa dalam hidup di dunia ini, ada banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan syiar dan syariah Islam. Bukan sekadar solat, puasa, zakat dan haji. Tetapi untuk membawa manusia lebih dekat dengan Allah itu, dan seterusnya untuk mendapat keredaanNya itulah yang paling diingini, dan patut menjadi doa setiap orang mukmin.
Andaikata saya tidak memperoleh biasiswa BNM, pasti peluang saya untuk bertugas di BNM mungkin menjadi kabur. Andaikata saya gagal temuduga untuk bekerja di BNM, pasti saya tidak akan berada di BNM. Andaikata saya tidak bertugas di Jabatan Bank, pasti saya tidak akan ketemu dengan Nor Mohamed Yakcop. Andaikata saya tidak mempunyai visi jelas dalam hidup saya, pasti perbankan Islam cuma satu teori sahaja. Kerana itu saya amat bersyukur kepada Allah atas petunjuk dan hidayahNya, dan paling penting juga, nasihat yang sentiasa diterima dari isteri yang dicintai, Zahrah Ismail, yang banyak membimbing saya untuk mengenal erti saya menganut agama Islam. Beliau banyak mempengaruhi tassawur saya sejak berkenalan dengannya, sehingga kami menikah dan kini dikurniakan enam orang putera dan puteri yang alhamdulillah produknya.
Izinkan saya untuk bercerita serba sedikit tentang kisah saya dan perbankan Islam di BNM. Saya sebenarnya telah didedahkan dengan dakwah Islam ketika menuntut di UKM, hasil perkenalan saya dengan seorang gadis remaja yang menuntut di Tingkatan 6 Sekolah Menengah SAAS, Kajang ketika program Seminar SPM/STPM anjuran Persatuan Mahasiswa Selangor di sekolah berkenaan. Ia tidak begitu ketara tetapi apabila beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Teknik, nada Islamnya semakin bergema dan terserlah. Saya sebenarnya jenis happy go lucky, meskipun telah mula berminat dengan Islam. Maklumlah, di UKM saya tergolong dalam kumpulan TSB yang pro-Umno dan Kerajaan berbanding dengan ATMA yang pro-PAS dan ABIM. Perhubungan saya dengan beliau penuh dengan nasihat-menasihati tentang Islam dan sedikit sebanyak mula mencorakkan kefahaman saya tentang apa sebenarnya tanggungjawab seorang Muslim. Saya akan bercerita dengan lebih panjang dalam bab 1 nanti.
Apabila saya ditawarkan bekerja di BNM, hati saya serba salah antara perlukan saya melarikan diri dari institusi tersohor ini, yang muamalatnya memang didominasi oleh riba, atau membuat perubahan dari dalam, dengan kudrat yang termampu. Saya berjumpa dengan Ustaz Alias Othman, dan beliau memberikan nasihat yang cukup baik. Beliau berkata," jika anta boleh membuat perubahan ke arah yang lebih baik, anta tinggallah di sana, tetapi jika anta tidak dapat dapat membuat apa-apa usaha dakwah, tinggalkanlah institusi tersebut." Saya yakin saya boleh melakukan sesuatu cuma tidak lagi tahu apa yang boleh saya lakukan.
Semasa saya berkhidmat dalam setahun-dua di sana, Pengarah Jabatan saya iatu En. Nor Mohamed Yakcop (kini Tan Sri) dapat merasakan yang saya tidak begitu betah dalam jabatan ini kerana prinsip hidup saya ini, sehinggakan beliau menulis dalam borang penilaian saya yang saya ini mempunyai masalah pertentangan antara ideologi saya dengan urusan bank. Saya memang sedih apabila membaca penilaian tersebut tetapi ianya benar dan Alhamdulillah, ia tidak memberi kesan kepada saya mahupun hubungan saya dengan En Nor, dan immediate supervisor saya, Puan Lillian (kini Penolong Gabenor). Mereka cukup memahami saya dan saya cuba untuk bekerja sebaik mungkin. Saya kira En Nor mempunyai wawasan yang cukup besar apabila beliau mengajak Tuan Haji Sabidi Abdullah, ketika itu beliau ditempatkan di Jabatan Ekonomi di Meja Arab untuk bekerja di Jabatan Bank. TH Sabidi adalah staf BNM yang melanjutkan pelajaran di UIA dan adalah batch pertama universiti berkenaan. Dengan kehadiran beliau selaku seorang yang berpengalaman dan mempunyai asas agama yang baik, serta kesedaran Islam yang tinggi, saya kira ia satu peluang yang baik kepada saya untuk meningkatkan kefahaman saya.
Pada satu hari di bulan Disember 1999, En Nor memanggil saya (mungkin Hj Sabidi, saya tak ingat). Beliau bercerita yang Gabenor memanggilnya sebentar tadi kerana Gabenor (Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein) telah menerima jemputan untuk memberi Syarahan Perdana di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang. Tajuknya pastilah berkaitan dengan kewangan negara. Gabenor telah meminta pandangan En Nor tentang tajuk berkenaan. En Nor berpandangan yang Gabenor sudah sering berucap tentang kewangan konvensional. Jadi kali ini, apa kata beliau memberi ucapan tentang sistem kewangan Islam. Gabenor amat tertarik dengan cadangan tersebut dan bersetuju kepada cadangan En Nor. Seperti biasa, beliau meminta En Nor menyediakan teks ucapan tersebut. En Nor kemudiannya meminta saya dan Haji Sabidi untuk mula mengarang teks tersebut. Kami sungguh teruja kerana mendapat assignment yang amat mencabar ini, lebih-lebih lagi kerana En Nor juga telah menubuhkan seksyen Perbankan Islam di Jabatan Bank yang mana kami berdua inilah perintisnya. En Nor membuat outline bagi teks tersebut dan kami mula mencari bahan dari segala punca yang ada. Bulan pertama biasanya ialah mengumpulkan bahan yang sesuai, dan draf mula berjalan pada bulan kedua iaitu Februari. Syarahan tersebut akan berlangsung pada 3 Mac 1990. Pada masa yang sama, En Nor perlu ke luar negeri seperti London, New York dan sebagainya.